"Kami sudah bersedia,"demikian reaksi penjaga gol skuad B-23 negara, Ifwat Akmal Che Kassim, susulan kemungkinan seorang daripada empat penjaga gol yang sedang menjalani menjalani kem latihan pusat bakal digugurkan untuk kunjungan ke Mokpo, Korea Selatan, Ahad ini.

Kem latihan pusat skuad B-23 negara menyaksikan persaingan sengit di beberapa posisi utama, terutama penjaga gol.

Mereka berempat akan merebut tiga slot bagi skuad yang akan ke Korea Selatan sebelum mengharungi cabaran sebenar dalam Kejohanan AFC B-23 di China, awal tahun depan.

Persaingan kini membabitkan Ifwat, Haziq Nadzli, Ahmad Syihan Hazmi dan Amierul Hakimi Awang dengan kesemuanya memiliki kelebihan masing-masing.

"Persaingan agak sengit sebab masing-masing adalah penjaga gol terbaik dalam Malaysia. Kami akan bersaing secara sihat untuk merebut tempat.

"Dengan Kejohanan AFC B-23 sebagai pertandingan pembukaan 2018, saya mahu berjuang menjadi penjaga gol utama," kata pemain Kedah itu.

Senarai 26 pemain yang akan di bawa ke Mokpo akan diumumkan pengendali, Datuk Ong Kim Swee, selepas aksi persahabatan menentang Melaka United, hari ini.

Sebelum ini, Ifwat merupakan penjaga gol utama, namun tempatnya dirampas Haziq yang mengemudi benteng akhir dalam kempen Sukan SEA Kuala Lumpur, Ogos lalu.