Pengendali skuad hoki negara, Stephen Van Huizen, masih belum berpuas hati sepenuhnya dengan aksi pemain walaupun merakamkan kemenangan 6-0 ke atas Myanmar dalam aksi terakhir kumpulan semalam untuk ke pentas akhir Sukan SEA 2017 berdepan lawan sama, esok.

Walaupun mengakui skuad negara pada tahap berbeza dengan negara serantau lain, Van Huizen tetap mahu pemain mengekalkan aksi konsisten sepanjang perlawanan.

Bagi Van Huizen, pemain mensia-siakan beberapa peluang gol pada hujung perlawanan untuk menambah jaringan.

"Kadang-kala apabila kami ada jurang yang besar daripada segi jaringan, pemain mula mengikut kepala masing-masing dan cuba bermain dengan cara lain.

"Itu yang kami perlu kenal pasti kerana apabila bermain sebagai pasukan pilihan, kamu kena mengekalkan permainan," katanya.

Dalam pada itu, Van Huizen berpuas hati dengan kelibat pemain muda dalam skuad kebangsaan seperti Nik Aiman Nik Rosemi.

Namun, dia berharap pemain itu terus menggandakan usaha bersaing dengan pemain senior dalam pasukan.

"Nik Aiman sudah bersama kami untuk setahun dan dia memiliki potensi. Tetapi masih banyak yang perlu dia pertingkatkan lagi.

"Kami telah mencuba beberapa pemain muda dan kami terus mencuba kerana kami mahu melahirkan pemain sebagai persediaan ke Piala Dunia 2018. Tetapi mereka perlu bekerja keras jika mahu mengatasi pemain senior lain."

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.