Skuad hoki dalam dewan lelaki negara meraih kemenangan keempat selepas menewaskan Indonesia 6-2 dalam Sukan SEA Ke-29 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), sebentar tadi.

Malaysia membuka jaringan pada minit kedua menerusi Norsyafiq Sumantri sebelum Shafiq Yaacob membawa skuad negara di kedudukan selesa pada minit keenam.

Seminit berselang, Indonesia merapatkan jurang hasil jaringan Zaki Lukman tetapi barisan negara membalas dengan dua lagi gol menerusi pukulan sudut penalti Najib Hassan (m-29) dan Muhamad Syafiq Syed (m-32).

Pada minit ke-36, Indonesia sekali mengejar kedudukan apabila pukulan Astri Rahmad menemui jaring.

Bagaimanapun, Najib (m-39) dan Norsyafiq (m-40) melengkapkan kemenangan 6-2 buat Malaysia.

Malaysia sebelum ini menewaskan Filipina 16-0, Vietnam 15-0 dan Thailand 4-0, dan kini mengumpul 12 mata untuk menduduki tempat teratas carta.

Mereka seterusnya akan menghadapi Singapura untuk perlawanan terakhir peringkat kumpulan, esok, sebelum berdepan skuad di tangga kedua Sabtu ini bagi penentuan pingat emas.

Dalam saingan wanita hari ini, skuad negara terpaksa akur dengan kekalahan 3-0 kepada Thailand.

Thailand menunjukkan ketajaman serangan mereka seawal minit keempat menerusi jaringan Thanaporn Tongkham.

Tidak sempat skuad bimbingan Iman Gopinathan Abdullah itu bangkit, Thailand sekali lagi meraih gol pada minit ke-40 menerusi jaringan terbuka.

Pada minit itu juga, Thailand sempat melakukan jaringan ketiga untuk melengkapkan kemenangan mereka.

Ia kekalahan pertama skuad wanita selepas meraih kemenangan besar 19-0 ke atas Filipina kelmarin dan seri 1-1 menentang Indonesia semalam.

Malaysia selepas ini akan menentang Singapura dalam perlawanan keempat, esok.

Dua pasukan teratas akan berentap untuk menentukan emas sementara pasukan di tangga ketiga dan keempat akan bertemu untuk gangsa.

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.