Hoki Dalam Dewan: Skuad lelaki mahu terus lakar kemenangan

Oleh Staff Writer 24 Ogos 2017 314
Hoki Dalam Dewan: Skuad lelaki mahu terus lakar kemenangan
Malaysia mahu melakar kemenangan ke atas Singapura dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan hari ini meskipun sudah mengesahkan slot ke perlawanan akhir acara hoki dalam dewan lelaki Sukan SEA Ke-29.

Kemenangan 6-2 yang diraih skuad kendalian Mohd Amin Rahim semalam, sudah cukup untuk mengukuhkan reputasi mereka di Asia Tenggara.

Selepas menunjukkan perbezaan kemahiran ketara serta jumlah jaringan yang besar sejak perlawanan pertama peringkat kumpulan, Malaysia mahu meneruskan momentum kemenangan sehingga ke perlawanan akhir.

Malaysia sebelum ini turut menewaskan Filipina 16-0, Vietnam 15-0 dan Thailand 4-0, dan kini mengumpul 12 mata untuk menduduki tempat teratas carta.

Justeru, tiada istilah kasihan apabila berdepan Singapura, jam 7.30 malam ini.

"Kami menghadapi perlawanan demi perlawanan. Setiap perlawanan, kami cuba mempertingkatkan mutu permainan kami," kata pemain negara, Mohd Najib Abu Hassan.

Bagaimanapun, nasib berbeza dialami skuad wanita selepas tumpas 0-3 kepada Thailand, semalam.

Situasi itu ternyata menyukarkan peluang negara kerana Thailand kini sudah pun melayakkan diri ke perlawanan akhir, manakala Malaysia perlu menang aksi menentang Singapura jika berhasrat mengiringi skuad Gajah Perang itu ke final.

Hanya dua pasukan teratas dalam kumpulan yang akan mara ke perlawanan akhir.

"Laluan memang sukar, kami perlu memastikan kemenangan dalam aksi seterusnya untuk bertemu Thailand dalam final," kata jurulatih pasukan, Iman Gopinathan Abdullah.

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen