Skuad lelaki negara semakin hampir untuk mengecap pingat emas dalam acara hoki dalam dewan Sukan SEA Ke-29 selepas mengesahkan kemaraan ke final sebagai juara kumpulan.

Malaysia, yang mengumpul 15 mata menerusi lima kemenangan, bakal bertemu pasukan di tangga kedua, Indonesia, di peringkat akhir untuk penentuan emas, Sabtu ini.

Dalam aksi terakhir kumpulan malam ini, Najib Hassan (m-20,24,27) menjaringkan tiga gol dan satu daripada Shafiq Yaacob (m-8) untuk membantu skuad negara menewaskan Singapura 4-0 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).

Sebelum ini, skuad bimbingan Mohd Amin Rahim itu melakar kemenangan besar ke atas Filipina 16-0, Vietnam 15-0, Thailand 4-0 dan Indonesia 6-2.

Thailand dan Singapura pula akan bertemu untuk merebut pingat gangsa.

Bagaimanapun, skuad wanita negara terlepas slot final walaupun menewaskan Singapura 6-0, hari ini.

Mereka menamatkan saingan kumpulan di kedudukan ketiga dan akan bertemu Singapura (keempat) sekali lagi untuk penentuan pingat gangsa.

Selepas tewas 3-0 kepada Thailand semalam, Malaysia beraksi cemerlang hasil jaringan Nur Aisyah Yaacob (m-2), Rabiatul Mohamed (m-8), Qasidah Halimi (m-23,40) dan Noorain Mohd (m-34, 39).

Skuad wanita sebelum ini mengatasi Filipina 19-0, kalah kepada Thailand 3-0 dan seri 1-1 dengan Indonesia.

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.