Skuad gimnas berirama meraih emas ke-100 buat negara dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MiTEC), sebentar tadi.

Emas pertama lahir daripada Koi Sie Yan dalam disiplin gelung selepas mengumpul 16.000 mata manakala perak diraih oleh seorang lagi wakil negara, Amy Kwan Dict Weng (15.250 mata).

Gimnas Thailand, Panjarat Prawatyotin, melengkapkan podium di tempat ketiga setelah melakukan catatan 13.700.

Izzah Azman pula meraih emas pertama bagi acara individu dalam disiplin bola dengan meraih 15.600 mata, mengetepikan rakan senegara, Sie Yan, yang meraih perak (15.050 mata)dan Nabila Evandestier meraih gangsa (13.950 mata).

Sie Yan terus mempamerkan aksi cemerlang selepas meraih emas keduanya untuk hari ini dalam disiplin belantan selepas meraih 16.550 mata, Izzah di tempat kedua (15.250). Thanyaphat Sungvornyothin dai Thailand mencatatkan 14.100 bagi meraih gangsa.

Bagi disiplin riben, Amy Kwan akhirnya berjaya meraih pingat emas dalam disiplin tersebut dengan melakukan catatan 15.750, Sie Yan meraih perak (14.700) manakala Prawatyotin di tempat ketiga.

"Idola saya adalah atlet gimnastik berirama Russia Irina Tchachina, pemenang pingat perak di Olimpik Athens 2014. Dia menjadi inspirasi saya dan pembakar semangat saya untuk terus memberikan yang terbaik dalam acara ini," kata Amy.

"Saya sangat gembira kerana berjaya menjadi penyumbang emas ke-100 buat negara. Terima kasih semua yang menyokong saya.

"Pungutan pingat ini menjadi suntikan terbaik buat diri saya. Selepas ini saya akan lebih yakin dengan diri saya."

Kejayaan ini menyaksikan enam emas berjaya diraih dari gelanggang gimrama setakat ini, sekaligus menghadiahkan emas ke-100 buat Malaysia dalam misi muncul juara keseluruhan temasya dwitahunan ini."Sekiranya semua acara dapat menghasilkan emas sepertimana yang dijangkakan, pingat 111 itu akan dapat kita perolehi malam ini," kata Khairy.

"Mengikut kiraan saya, kita sudah muncul juara keseluruhan tiada negara yang dapat mengatasi kita. Cumanya sekarang kita mahu lihat betapa banyak kutipan yang dapat dilakukan untuk mengatasi rekod 111 daripada 2001 dan mencipta sejarah baru dalam Sukan SEA kali ini."

"Kutipan 100 pingat emas sangat penting dan saya sangat gembira kerana ia dilakukan oleh atlet gimrama yang sudah lama menjadi penuntut saya ketika di sekolah semasa saya menjadi pengetua. Saya sangat gembira kerana ini menandakan kita semakin menghampiri sasaran 111 pingat emas," kata chef de mision kontinjen Malaysia, Datuk Marina Chin.

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.

Kredit imej: Twitter myTeamMAS