Tiga lagi pingat emas hadir daripada kem gimnastik menerusi acara kekuda berpelana dan melombol di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MiTEC), hari ini.

Atlet wanita, Tan Ing Yueh, mengungguli acara melombol dengan kutipan 13.400 mata, sekaligus meraih pingat emas.

"Walaupun penat, kaki sakit. Saya tetap berlatih dengan kuat. Saya buat sahaja demi Malaysia," jelas Ing Yueh.

Wakil Indonesia, Rifda Irfanaluthfi membawa pulang pingat perak dengan 13.288 mata sementara seorang lagi wakil negara, Tracie Ang, mengutip gangsa dengan 12.725 mata.

Tracie turut mengutip pingat perak dalam acara palang tak sejajar apabila hanya dipisahkan dengan 0.325 dengan pemenang pingat emas, Kaitlin Cera Lianne De La Cruz dari Filipina, yang mengutip 12.875 mata.

Sementara itu, dua gimnas lelaki negara, Tan Fu Jie dan Jeremiah Loo Phay Xing, berkongsi pingat emas dalam acara kekuda berpelana selepas masing-masing meraih 13.650 mata.

Tiada pingat perak diberikan dan gangsa menjadi milik gimnas Thailand, Jamorn Promanee.

"Ia kejutan besar. Saya tidak sangka dapat meraih dua emas, jadi ia sangat mengejutkan bagi saya," kata Jeremiah.

Fu Jie turut terkejut dengan kejayaan itu meskipun mengakui berasa sedikit gemuruh.

"Pada mulanya saya berasa agak gemuruh. Lantas saya melakukan sedikit latihan pemanas badan untuk mempersiapkan mental saya," ujar Fu Jie.

Dalam perkembangan lain, Zul Bahrin Mat Asri berjaya menambah koleksi pingat perak kontinjen negara dalam acara senaman lantai selepas mencatat 13.750 mata.

Emas menjadi milik wakil Filipina, Capellan Reyland Yuson, yang berjaya mempertahankan pingat dimenanginya di Singapura dua tahun lalu.

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.