Keputusan acara pembuka tirai gimnastik, iaitu kategori berpasukan, akan menentukan sama ada kempen skuad gimnastik lelaki negara dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 akan berakhir dengan tangisan kegembiraan atau sebaliknya.

Sebaik selesai simulasi pra-pertandingan semalam, skuad lelaki negara ibarat tenang memikirkan cabaran yang bakal mendatang esok.

Sering memikirkan senario itu pastinya ketua jurulatih negara, Ng Shu Liang.

Selepas gagal membawa pulang emas dari temasya Singapura 2015, Shu Liang berpendapat peminat sukan tanah air akan dipersembahkan dengan sesuatu yang berbeza daripada anak buahnya kali ini.

"Kalau permulaannya bagus, penghujungnya akan lebih bagus. Semua atlet mahu menunjukkan yang terbaik. Apa-apa sahaja boleh berlaku dalam sukan, itu sahaja yang saya boleh katakan.

"Anda tidak mencuba, anda tidak tahu. Jadi, kita akan lihat nanti pada hari pertandingan," katanya.

Semangat Shu Liang perlu diterjemahkan atlet negara, antaranya prosepk pingat, Chau Jern Rong, yang akan memulakan saingan dalam acara berpasukan.

"Sebelum ini, tiada pasukan dalam Sukan SEA Singapura. Sudah tentu dalam Sukan SEA Kuala Lumpur, pasukan kita akan menyerlah," kata Jern Rong.