Skuad futsal wanita Malaysia bangkit daripada ketinggalan untuk melakar kemenangan 2-1 ke atas Myanmar dalam aksi pembukaan di Kompleks Sukan Panasonic, Shah Alam, hari ini.

Anak buah Muizzuddin Harris ketinggalan seawal minit kedua menerusi gol Pa Pa Win.

Bagaimanapun, Malaysia bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-36 melalui gol Zur'ain Kamarudin sebelum Norhawa Md Yasin meletakkan skuad negara di depan seminit kemudian.

Kutipan tiga mata tersebut sekaligus mencerahkan peluang skuad wanita negara untuk sekurang-kurangnya mengutip pingat gangsa dalam temasya kali ini.

Malangnya, ketiadaan kapten, Nur Farahiyah Ridzuan -- yang terpaksa digugurkan ekoran masalah kecederaan -- ternyata menjejaskan corak permainan skuad bimbingan Muizzuddin.