Skuad futsal lelaki negara melonjak ke takhta liga selepas terikat 1-1 dengan Vietnam dalam kempen Sukan SEA Ke-29 di Kompleks Sukan Panasonic, Shah Alam, malam ini.

Sekalipun sekadar memperoleh satu mata, kekalahan 4-2 Thailand di tangan Indonesia petang semalam, membolehkan skuad bimbingan Chiew Chun Yong itu naik ke tangga teratas dengan mengumpul empat mata.

"Taktikal kami berkesan dalam babak pertama dan kedua, kerana itulah kami berjaya mendahului perlawanan 1-0. Pemain saya beraksi dengan cukup baik," kata Chun Yong.

Dalam perlawanan hari ini, Malaysia menemui gol menerusi Mohd Ridzwan Bakri selepas menyudahkan hantaran Mohd Khairul Effendy Bahrin.

Selain dua pemain itu, skuad negara turut menurunkan Mohd Firdaus Razali, Abu Haniffa Hasan dan Akmarulnizam Mohd Idris selaku barisan utama.

Bagaimanapun, tiga minit sebelum perlawanan tamat, Vietnam menyamakan kedudukan 1-1 hasil jaringan Puc Hoa yang mudah menolak masuk bola hantaran Vu Xuan Thuan.

"Kami tidak bernasib baik hari ini kerana pemain beraksi dengan teruk, terutama dalam babak pertama.

"Ketika Malaysia menjaringkan gol pertama, sukar untuk kami cuba mengimbangi perlawanan," kata jurulatih Vietnam, Miguel Jose.

Sementara itu, skuad futsal wanita negara tumpas kepada Indonesia 2-1 dalam satu lagi perlawanan hari ini.

Jaringan tunggal Malaysia dihasilkan Norhawa Mohd Yasin pada minit ke-32 sementara Novita Murni Piranti (m-11) dan Susi Susanti (m-19) masing-masing menghadiahkan gol buat Indonesia.

Dengan menggunakan format liga sepusingan, kedudukan pingat akan ditentukan dengan jumlah mata yang dikumpulkan.