Malaysia menamatkan kempen futsal lelaki dengan pingat perak selepas tunduk 4-3 kepada Thailand dalam aksi terakhir peringkat liga sepasukan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 di Kompleks Sukan Panasonic, Shah Alam, sebentar tadi.

Keputusan itu menyaksikan impian negara untuk menggapai emas dalam temasya dwitahunan itu buat julung kalinya musnah sekalipun hanya memerlukan keputusan seri.

Malaysia mengakhiri saingan di tangga kedua apabila dipisahkan dengan Vietnam melalui perbezaan jaringan untuk mengulangi pencapaian 2007 di Korat.

Sungguhpun tewas kepada Indonesia dalam aksi kedua, juara kekal milik Thailand sejak edisi pertama acara itu diperkenalkan tiga temasya lalu.

Kealpaan benteng negara pada awal permainan menyaksikan pintu gol negara ditembusi empat kali hasil penyudah Kritsada Wongkaeo pada minit keempat, Suphawut Thueanklang (m-11 dan 27) dan Apiwat Chaemcharoen (m-18).

Sokongan padu daripada penyokong sendiri melonjakkan semangat pemain negara untuk bangkit menerusi Syed Aizad Daniel Syed Nasir bermula pada minit ke-24.

Yazid Kamaruzuan, yang menjadikan kedudukan 4-2 empat minit kemudian, bagaimanapun tidak dapat menyudahkan sepakan penalti sebelum Syed Aizad menambah satu lagi gol buat negara.

Usaha anak buah Chiew Chun Yong untuk memburu gol penyamaan bagaimanapun tidak kesampaian walaupun mempunyai beberapa peluang menarik pada penghujung perlawanan.

"Thailand telah mendahului perlawanan 3-0 dalam separuh masa pertama.

"Saya sangat gembira menyaksikan pemain-pemain berjaya melakukan kebangkitan," kata Chun Yong.

Sementara itu, jurulatih Thailand, Jose Maria Mendez, berpuas hati dengan perjalanan temasya KL2017 dengan berkata: "Saya mahu mengucapkan tahniah kepada Malaysia kerana menganjurkan temasya dengan cemerlang.


Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.