Pemain pertahanan skuad futsal Melaka, Firdaus Ambiah, dipanggil untuk menyertai pasukan kebangsaan bagi menghadapi saingan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Kehadiran Firdaus itu ditagih selepas kecederaan buku lali yang dialami Saiful Nizam Ali tidak sempat pulih menjelang aksi pertama menentang Myanmar esok.

Kepercayaan yang diberikan oleh pengendali, Chew Chun Yong, membuatkan Firdaus bertekad untuk menyesuaikan diri dengan cepat bagi membantu pasukan.

"Insya-Allah rasanya tiada masalah, lagipun banyak pemain daripada pasukan Melaka saya sudah serasi dengan mereka.

"Saya akan bantu pasukan sebaik mungkin.

"Walaupun baru dipanggil, saya dapat menyesuaikan diri," katanya.

Firdaus turut percaya bahawa barisan pemain negara kali ini berupaya memberikan cabaran sebenar selepas melalui proses persiapan yang sudah dirangka Chun Yong.

Sementara itu, penolong jurulatih negara, Jamhuri Zainudin, menjelaskan Firdaus menjadi pilihan kerana pengalaman yang dimiliki pemain itu.

"Dia bermain untuk Melaka yang muncul juara kebangsaan baru-baru ini.

"Namanya ada dalam senarai menunggu.

"Awal Januari lalu, dia dipanggil untuk latihan pusat pertama Sukan SEA sebelum kami menyenaraikan 20 pemain terbaik.

"Kecederaan teruk yang menimpa Saiful Nizam menyebabkan kami memanggil semula Firdaus untuk menguatkan skuad kebangsaan,"