Keputusan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, untuk kembali menyertai skuad ekuestrian negara dalam saingan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 ternyata berbaloi apabila baginda meraih pingat emas dalam acara endurance individu sejauh 80 kilometer dalam aksi di Taman Endurance Antarabangsa Terengganu, Setiu, pagi tadi.

Baginda yang menunggang RTES Annaversary, memenangi emas dengan rekod baru Sukan SEA selepas melakukan catatan masa 3 jam 48 minit 38 saat dengan kelajuan 20.991km/j untuk mengatasi catatan 2013 di Myanmar, iaitu 6:26:04.

Sebelum ini, baginda menarik diri daripada saingan Sukan SEA 2017 ekoran masalah kuda, namun mengubah pendirian untuk kembali menyertai skuad negara, sekaligus muncul sebagai sultan pertama yang bersaing dalam temasya dwitahunan itu.

Malaysia turut menggondol perak menerusi Mohd Bulkhari Rozali (3:48:40) manakala gangsa milik wakil Thailand, Warit Khuntaraporn (4:16:05).

Selain itu, Malaysia turut meraih emas dalam acara berpasukan selepas gandingan Mohammad Fuad Hashim, Mohd Adhwa Embong dan Azizatul Asma Abdullah berjaya mengatasi wakil dari Thailand (Wipawan Pawitayalarp, Kitkorn Nongbeung, Kanapos Taytaisong) serta Kemboja (Sovanchandara Ly, Sopheaktra Lon, Visal Phay) dengan masa 11:31:30 saat.