Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, melahirkan rasa bangga selepas mengukir sejarah memenangi pingat emas acara kuda lasak di Taman Endurance Antarabangsa Terengganu (TIEP), Lembah Bidong, Setiu, hari ini.

Sultan Mizan muncul sultan pertama menyertai serta meraih pingat emas dalam acara endurance individu temasya Sukan SEA setelah menamatkan perlumbaan 80km dalam masa 3:48.38 saat, yang juga rekod baru temasya.

Menurut baginda, kejayaan manis itu hadir hasil kerjasama berpasukan selain menyifatkan segala-galanya berjalan lancar dari awal perlumbaan.

Sultan Mizan turut berkata keserasian bersama kuda tunggangan, RTES Annaversary yang telah bersama baginda sejak lapan tahun lalu, jelas memainkan peranan penting memberi kilauan emas kepada kontinjen negara.

“Telah banyak kejayaan dilakar bersama kuda ini dan merupakan kuda kegemaran saya.

“Saya cukup bersyukur dan berbangga. Terima kasih kepada pengurus pasukan, Che Mat Din, rakan-sepasukan serta krew veterinar yang bertungkus-lumus memastikan kejayaan ini,” ujar baginda.

Tumpuan kini, tambah baginda, akan diberikan untuk memantapkan lagi sukan kuda lasak, khususnya di negeri Terengganu.

Sultan Mizan berkata, Royal Terengganu Endurance Stable (RTES) kini dalam perancangan untuk menganjurkan Kejohanan Kuda Lasak Asia pada Mei 2018.

Malah, Sultan Mizan meletakkan harapan untuk Terengganu menjadi tuan rumah Kejohanan Kuda Lasak Remaja Dunia pada masa akan datang.