Ketika Malaysia masih meraikan kejayaan hujan emas Sukan SEA Kuala Lumpur, tonggak pelayaran negara, Khairulnizam Mohd Affendy, sudah bersedia untuk melupakan temasya itu dan mengalihkan tumpuannya kepada misi lebih penting.

Khairulnizam tidak berselindung di sebalik rasa terkilan gagal menjadi sebahagian daripada atlet yang menyumbang 145 emas buat kontinjen negara.

Bukan satu tetapi dua kekecewaan menimpa Khairulnizam ketika aksi di Langkawi dengan kekalahan dalam acara berpasukan racing laser standard paling dirasai.

Dalam saingan radial laser individu, Singapura menerusi Ryan Lo turut menjadi dalang menghalang impian emas Khairulnizam.

"Dalam acara berpasukan, kami kalah kepada Singapura 2-0 dan untuk acara individu, saya kalah dalam perlumbaan terakhir (perlumbaan kesembilan untuk pingat).

"Bagaimanapun, saya harus berfikiran positif kerana saya mengambil masa tiga bulan untuk pulih selepas mengalami kecederaan lutut. Saya sangat bersyukur kerana dapat memberikan tentangan sengit sampai perlumbaan terakhir, cuma ia tidak menyebelahi saya.

"Ia kekalahan tipis, jadi ia membuatkan saya kecewa. Ia membuatkan saya terbayang-bayang lagi kekalahan itu," katanya.

Khairulnizam selepas ini akan berangkat ke Split, Croatia bagi menghadapi Kejohanan Dunia Laser berbekalkan misi peribadi untuk membalas dendam.

"Esok saya akan ke Croatia untuk pertandingan Kejohanan Dunia dan pada minggu depan, kejohanan itu akan berlangsung selama tujuh hari.

"Di sana, saya akan buktikan semula untuk menjadi yang terbaik dalam Asia dan mahu mengalahkan pesaing dalam Sukan SEA, terutama dari Singapura dan Thailand.

"Ia juga untuk membuktikan kepada MSN (Majlis Sukan Negara) dan ISN (Institut Sukan Negara) bagi mendapatkan semula kepercayaan mereka. Jadi, misi ini agak penting bagi saya," tambahnya.

Untuk rekod, skuad pelayaran negara menyumbang enam emas dalam Sukan SEA Kuala Lumpur, sementara Khairulnizam terlepas kilauan emas kategori laser standard dengan meraih gangsa.

Pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur:

• Shazwanie Saad (Optimist B16)
• Fauzi Kaman Shah (Optimist B16)
• Latif Khan Ali Sabri Khan (Laser radial lelaki)
• Uzair Amin & Naquib Eiman (International 420)
• Faizal Norizan & Ahmad Syukri Abdul Aziz (International 470)
• Optimist berpasukan campuran