Laos mencetuskan kontroversi apabila membantah pingat emas yang dimenangi Myanmar dalam acara chinole non-repetition secondary Sukan SEA Ke-29 di Stadium Tertutup Titiwangsa, hari ini.

Laos, yang mengumpul 148 mata dan ketinggalan satu mata di belakang Myanmar dengan 149 mata, mengambil keputusan untuk membantah selepas tidak berpuas hati dengan pengiraan mata keputusan perlawanan akhir itu.

Pada set pertama, kedua-dua pasukan terikat 70 mata, manakala pada set kedua Myanmar meraih 79 mata untuk jumlah 149 mata manakala Laos mengutip 78 mata untuk jumlah 148 mata.

Tindakan Laos itu menyebabkan majlis penyampaian pingat ditangguhkan untuk menanti kata putus daripada pihak penganjur dan barisan pengadil.

Laos dibarisi Anousone Soundala, Virayan Sombutphou, Yothin Sombutphou, Adong Phoumisin, Saikham Saikham, Photthasanh Bounpa, Chanthalak Chantha dan Anousone Vilavongs.

Sementara itu, Myanmar diwakili Ya Wai Aung, Myo Soe Moe, MyoMin Paing, Naing Aung, Sai Zaw Zaw, Wai Yam Phyoe, Kaung Myat Thiha dan Khant Win Hein.

Terdahulu, Malaysia meraih gangsa selepas mengumpul 106 mata dalam pusingan round robin bagi disiplin itu.