Skuad chinlone negara menyumbang emas pertama buat Malaysia menerusi disiplin linking selepas menewaskan Filipina dalam Sukan SEA Ke-29 di Stadium Tertutup Titiwangsa, sebentar tadi.

Pasukan negara yang dibarisi Muhammad Faiz Roslan, Ab Muhaimi Che Bongsu, Mohammad Kamal Aizzat Azmi, Izuan Affendi Azlan, Iskandar Zulkarnain Salim, Putera Aidil Israfil Kamaruzaman, Mohamad Azlan Alias dan Muhammad Zaim Razali muncul juara dengan pungutan 391 mata keseluruhan.

Pingat perak menjadi milik Filipina yang mengumpul 271 mata di pentas final manakala Brunei ketiga dengan 157 mata.

Malaysia bermula cemerlang untuk mengungguli pusingan pertama -- jauh berada di depan dengan 197 mata, sementara Filipina mengumpul 133.

Pada pusingan kedua, skuad negara mengumpul 194, mengekalkan perbezaaan dengan Filipina yang mengumpul 138.

"Saya gembira. Setelah berlatih hampir setahun banyak perkara yang kami belajar di Myanmar dan memang kami menjangkakan memenangi emas.

"Memang saya berasa yakin untuk memenangi emas pertama ini kerana pemain menunjukkan prestasi baik ketika berlatih dan kami mampu menggapai emas," kata jurulatih pasukan, Muhammad Yusuf Abdullah.

Diminta mengulas mengenai jurang mata yang ketara dengan Filipina, dia berkata: "Filipina mungkin masih baru lagi dalam chinlone. Ketika kami berlatih di Myanmar dan mereka (Filipina) juga berlatih di sana.

"Saya lihat mereka masih baru lagi dan sebenarnya mereka membuat persiapan untuk menghadapi Sukan SEA seterusnya di Filipina."

Hanya tiga negara mengambil bahagian dalam acara linking ini kerana peraturan Sukan SEA membataskan penyertan negara-negara luar kepada dua daripada empat disiplin dalam chinlone.

Ini menjelaskan mengapa tiada penyertaan Myanmar dan Thailand dalam acara linking.

Namun, sebagai tuan rumah, Malaysia boleh menghatar wakil dalam kesemua empat disiplin.

Selain linking, tiga lagi disiplin lain yang dipertandingkan adalah same stroke, non-repetition primary dan non-repetition secondary.

Untuk rekod, pada penampilan di temasya dua tahun lalu di Singapura, Malaysia muncul pemenang pingat gangsa dalam acara sama dan meraih perak dalam acara non-repetition