Boling: Wanita negara ungguli acara berpasukan

Oleh Staff Writer 24 Ogos 2017 343
Boling: Wanita negara ungguli acara berpasukan
Skuad wanita negara muncul juara dalam acara boling berpasukan selepas mengatasi Singapura dengan kelebihan tipis, 61 jatuhan pin, dalam Sukan SEA Ke-29 di Sunway Mega Lanes, hari ini.

Pasukan wanita yang dibarisi oleh Shalin Zulkifli, Sin Li Jane, Esther Cheah, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi dan Natasha Roslan mengumpul 6,264 jatuhan pin sementara Singapura memperoleh 6,203.

Singapura yang diwakili Bernice Lim, Cherie Tan, Daphne Tan, New Hui Pen dan Shayna Ng akur dengan pingat perak manakala Filipina yang ketinggalan 189 jatuhan pin di belakang Malaysia memenangi gangsa.

Sementara itu, skuad lelaki negara yang dibarisi Rafiq Ismail, Alex Liew, Adrian Ang, Syafiq Ridhwan dan Ahmad Muaz Mohd Fishol, tersingkir daripada persaingan pingat apabila menduduki tangga keempat dengan 6,239 jatuhan pin, 160 di belakang Singapura (6,399) yang memenangi emas.

Perak dan gangsa masing-masing diraih pasukan Indonesia dan Thailand.

Skuad negara kini mengumpul lima emas dalam boling selepas Shalin, Esther dan Li Jane menguasai acara trio wanita, semalam.

Untuk rekod, pingat emas hari ini adalah yang ke-18 buat Shalin dalam Sukan SEA sejak membuat kemunculan sulung dalam temasya di Singapura pada 1993.

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen