Pemain berpengalaman negara, Shalin Zulkifli, menganggap pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 yang diraihnya dalam acara boling tenpin trio wanita di samping Esther Cheah dan Sin Lin Jane begitu bermakna selepas kali terakhir memenanginya dalam temasya di Korat, 10 tahun lalu.

Tidak meletak sebarang sasaran tertentu dalam acara ini, Shalin sama sekali tidak menyangka emas pertamanya dalam edisi ke-29 ini akan hadir dalam acara trio.

Dia juga merupakan antara barisan pemain yang kali terakhir memenanginya di Korat bersama-sama Zatil Iman Abdul Ghani dan Cheah Mei Lan.

Malah, Shalin menyifatkan prestasinya hari ini antara hari paling cemerlangnya selepas muncul pemain paling tinggi melakukan jatuhan pin, iaitu 1,370.

"Sudah lama kami tidak meraih kemenangan dalam acara ini.

"Kali terakhir ia dimenangi adalah dalam Sukan SEA Korat 2007.

"Salah satu faktor kejayaan kami adalah kesabaran menghadapi setiap kejohanan," kata atlet berusia 39 tahun itu.

Satu lagi trio negara yang dibarisi Natasha Roslan, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman dan Syaidatul Afifah Badrul Hamidi meraih gangsa apabila dihampakan dengan 10 pin di belakang trio Singapura, Cherie Tan, New Hui Fen dan Shayna Ng.

"Dalam sukan boling, apa-apa sahaja boleh berlaku.

"Terdapat banyak acara dalam sukan boling dan kejayaan akan tetap hadir jika kami terus mempamerkan persembahan terbaik," kata Syaidatul.

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.