Berbekalkan kelebihan di laman sendiri, pemain bowling wanita negara, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman, berazam untuk menjadikan pentas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 sebagai medan untuk menamatkan dominasi Singapura dalam acara perseorangan sejak dua edisi lalu.

Kali terakhir skuad bowling wanita negara memenangi acara perseorangan adalah dalam saingan 16 tahun lalu menerusi bekas ratu bowling negara, Shalin Zulkifli.

Sejak itu, juara perseorangan wanita kerap bertukar tangan kepada Filipina dan Indonesia sebelum dua kali dikuasai oleh atlet dari Singapura.

Siti Safiyah dilihat mampu menjadi taruhan terbaik negara bagi menamatkan penantian sejak tahun 2001 itu jika prestasi terkini dijadikan ukuran, bersama seorang lagi pemain negara, Sin Li Jane.

"Ia salah satu sasaran saya.

"Ini acara pembuka untuk boling dan peluang untuk meraih emas,” katanya.

Kehadiran dua pemain utama Singapura, Daphne Tan dan Jazrel Tan, nyata tidak menerbitkan kegusaran dalam diri Siti Safiyah, sebaliknya dia mahu mengekalkan fokus terhadap persembahannya sendiri.

Kejayaannya dalam salah satu kejohanan Persatuan Pemain Bowling Profesional Amerika Syarikat (PWBA) pada Jun lalu mampu menghadirkan tekanan psikologi kepada lawan.

"Kami berdua mempunyai momentum. Saya akan imbas kembali bagaimana kami melakukannya dalam PWBA."