Pemain senior boling padang, Nor Hashimah Ismail, memainkan peranan penting buat skuad berpasukan wanita negara ketika menewaskan Filipina 24-14 selepas 18 end dalam acara empat sepasukan hari ini untuk meraih emas pertama skuad boling padang dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Atlet berusia 46 tahun itu bertekad memburu emas selepas menyaksikan kekalahan skuad berpasukan lelaki dalam acara sama.

Rakan sepasukan turut mempunyai keinginan sama untuk menebus kekalahan skuad lelaki yang diterajui Safuan Said.

"Memandangkan kami tewas kepada Filipina dalam saingan peringkat kumpulan, kami bertekad menghadiahkan emas untuk Malaysia dan yang kelima buat diri saya," kata Nor Hashimah.

Dia turut mengakui mengalami kemerosoton prestasi pada pertengahan permainan.

Begitupun, pengalaman diimilikinya menjadi bimbingan rakan lain dalam menzahirkan emas.

"Perasaan gementar hadir pada penghujung saingan. Tetapi dengan pengalaman yang dimiliki kami berjaya mempamerkan aksi cemerlang untuk meraih kemenangan," tambah Nor Hashimah.

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.

Kredit foto:
Media MASOC