"Pingat emas ini untuk arwah ayah saya," demikian reaksi pemain boling padang negara, Emma Firyana Saroji, sejurus menjuarai perseorangan wanita temasya KL2017, hari ini.

Bagi Emma, bapanya, Allahyarham Saroji Kaspan, yang meninggal dunia pada 2015 banyak memberi galakan kepadanya.

Emma mengakui bukan mudah baginya ketika itu, namun semangat Allahyarham Saroji memberi kekuatan kepadanya untuk mengharungi cabaran dalam sukan boling padang sehingga dia berjaya meraih emas untuk negara.

"Banyak pengorbanan yang saya buat. Emas ini untuk arwah ayah saya.

"Ayah saya meninggal dunia pada 2015 sehingga saya menangguhkan hasrat untuk menyertai pertandingan.

"Selepas dia pergi, saya menyertai kejohanan dan Alhamdulilah saya menjuarai Kejohanan Juara Antara Juara Dunia.

"Saya menggunakan semangat yang ada dan meneruskannya sehingga sekarang," ujarnya.

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.