Boling: Cemas sebelum raih emas

Oleh Staff Writer 24 Ogos 2017 382
Boling: Cemas sebelum raih emas
Aksi kurang menyakinkan dalam pusingan akhir hampir mengundang padah buat boling berpasukan wanita sebelum mereka berjaya mempertahankan emas Sukan SEA yang dimenangi dua tahun lalu, di Sunway Mega Lanes, hari ini.

Skuad negara tidak meletakkan Siti Safiyah Amira dalam perlawanan blok pertama pada sebelah pagi dan mereka berada di tangga kedua di belakang Filipina.

Strategi jurulatih, Holloway Cheah, memasukkan Safiyah untuk menggantikan Natasha Roslan dilihat mula menjadi apabila mereka berada di tangga teratas menerusi kelebihan 204 pin di depan Singapura pada pusingan kelima.

Namun, aksi tidak baik ditampilkan kelima-lima pemain negara dalam pusingan akhir dengan tiada siapa meraih jatuhan pin melebihi 200 hampir membuatkan barisan negara mengigit jari.

Bagaimanapun, mujur kelebihan mampu dipertahankan pemain negara walaupun tipis (61 jatuhan pin) mengatasi Singapura (6,203) untuk meraih emas kelima buat skuad boling.

Pusingan pertama Malaysia meraih 1,082 jatuhan pin, kedua 1,029 dan ketiga 1,056.

Dalam pusingan keempat mereka memperoleh 1,099, kelima 1078 dan keenam 920 untuk mengumpul jatuhan pin berjumlah 6,264.

"Kami terlalu selesa kerana sudah mengetahui mendahului pada jarak yang jauh.

"Alhamdulillah, kami masih dapat mempamerkan prestasi yang baik dalam aksi yang terakhir walaupun jauh di hadapan. Kalau boleh kami sentiasa mahu menjarakkan kedudukan," kata pemain negara, Shalin Zulkifli.

Selain Shalin, Safiyah dan Natasha, skuad negara dibarisi Sin Li Jane, Esther Cheah dan Syaidatul Afifa.

Bagi saingan lelaki, tiada sebarang pingat mampu dijelmakan walaupun berkedudukan di tangga kedua pada satu ketika.

Singapura yang menghantar majoriti pemain muda membuat kejutan apabila meraih emas, sementara Indonesia merangkul Perak dan Thailand memperoleh gangsa.

Malaysia dibarisi Rafiq Ismail, Alex Liew, Adrian Ang, Syafiq Ridhwan dan Ahmad Muaz.

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.

Gambar: Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA Kuala Lumpur (MASOC)

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen