MALAYSIA 1-2 FILIPINA

Skuad bola sepak wanita negara tumpas 2-1 di tangan Filipina dalam perlawanan pertama Sukan SEA Ke-29 di Stadium UiTM, Shah Alam, malam ini.

Malaysia, yang turun sebagai pasukan bukan pilihan, kerap menerima ancaman percubaan lawan pada separuh masa pertama untuk memaksa penjaga gol negara, Nurul Azurin Mazlan, bekerja keras.

Pada masa kecederaan babak pertama, kubu Malaysia akhirnya akur dengan jaringan pembukaan menerusi Patrice Implido hasil tandukan daripada satu sepakan penjuru.

Skuad bimbingan Mohd Asyraaf Fong Abdullah itu memperkemaskan permainan pada separuh masa kedua dengan menyaksikan Dadree Rofinus berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-54. Penyerang itu membuat penyudah susulan selepas percubaan pertama daripada rakannya.

Selepas itu, Camille Rodriguez muncul wira Filipina apabila menjadi penjaring kemenangan pada minit ke-74.

"Pemain agak gugup pada awal perlawanan. Jika kami berjaya mencari tempo pada awal perlawanan, kami mampu mengatasi Filipina. Kesilapan mudah yang dilakukan memberikan jaringan kepada pasukan lawan.

"Bagaimanapun, kami akan terus memberikan yang terbaik dalam tiga perlawanan akan datang," kata Asyraaf.

Sementara itu, dalam satu lagi perlawanan pada sebelah petang, skuad wanita Thailand menewaskan Myanmar 3-2.

Acara bola sepak wanita kembali dipertandingkan dalam temasya ini selepas kali terakhir dianjurkan di Naypyidaw 2013 dengan menyaksikan Thailand menggondol emas, menewaskan Vietnam 2-1 dalam perlawanan akhir.