Vietnam mencerahkan peluang untuk menempah slot separuh akhir selepas meraih kemenangan kedua dengan menewaskan Kemboja 4-1 dalam Kumpulan B, Sukan SEA Ke-29 di Stadium Shah Alam, hari ini.

Jaringan pembukaan pada penghujung separuh masa pertama menerusi Nguyen Cong Phuong meletakkan Vietnam di depan.

Pemenang pingat gangsa Sukan SEA 2015 itu menambah tiga lagi gol dalam tempoh enam minit bermula dengan jaringan Que Ngoc Hai pada minit ke-71.

Vietnam meraih dua gol berselang seminit menerusi Cong Phuong (m-75) dan Ho Tuan Tai (m-76) untuk menewaskan Kemboja yang dihadiahkan gol sagu hati menerusi sepakan penalti Nen Sothearoth pada minit ke-83.

Sementara itu, dalam dua lagi aksi Kumpulan B, Indonesia menewaskan Filipina 3-0 di Stadium Shah Alam dan Thailand mengalahkan Timor-Leste 1-0 hasil jaringan tunggal K. Worachit di Stadium Selayang.

Indonesia menemui gol menerusi tiga penjaring berbeza, Septian David (m-7), Muhammad Hargianto (m-45) dan Saddil Ramdani (m-59).

Vietnam, Filipina, Indonesia, Thailand, Kemboja dan Timor-Leste bersaing dalam Kumpulan B untuk memburu tempat dalam separuh akhir.