Debaran perlawanan akhir bola sepak Sukan SEA ke-29 di antara skuad B-22 negara dan Thailand semakin dirasai apabila jualan tiket di Stadium Shah Alam hari ini mendapat sambutan luar biasa daripada penyokong tempatan.

Penyokong jelas enggan kempunan mendapatkan tiket perlawanan akhir apabila kebanyakan mereka sudah bermalam di stadium.

Tinjuan Nadi Arena mendapati penyokong mula membanjiri perkarangan stadium sejak 8 pagi lagi dan terpaksa berbaris panjang meskipun kaunter tiket mula dibuka jam 11 pagi.

Gara-gara sistem penjualan tiket yang tampak tidak teratur, beberapa insiden kekecohan berlaku sepanjang penjualannya.

Antaranya ada yang meluahkan: "Saya menetap di pagar ini dan tidur dari malam tadi sampai jam 8 pagi."

Ada pula yang berkata: "Lega sangat selepas berjaya mendapatkan tiket. Alhamdulilah."

Sementara itu, ada juga pihak yang mengambil kesempatan dan disyaki sindiket ulat tiket apabila menjual dengan harga tinggi mencecah RM100 hingga RM150 menerusi laman sesawang tertentu.

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.