Penyerang skuad B-22 negara, N. Thanabalan, menghargai kepercayaan yang diberikan oleh pengendali, Datuk Ong Kim Swee, selepas memasukkannya dalam babak kedua ketika menentang Singapura dalam aksi peringkat kumpulan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, malam tadi.

Meskipun baru pulih daripada kecederaan, dia bingkas membalas amanah yang diberikan oleh Kim Swee apabila menyumbat gol kemenangan buat pasukan Malaysia pada minit ke-73.

Namanya dijangka hanya akan membarisi skuad negara ketika menentang Myanmar, namun perubahan taktikal dalam separuh masa kedua membuat Kim Swee meletakkan harapan di bahu Thanabalan.

"Terima kasih kepada jurulatih kerana memasukkan saya pada separuh masa kedua, juga kepada rakan-rakan kerana bantu saya sehingga kami menang 2-1.

"Saya berharap dapat beraksi dalam kesebelasan utama untuk perlawanan seterusnya," kata pemain yang mewakili Felcra FC itu.

Malaysia mempamerkan kebangkitan selepas ketinggalan satu gol dalam aksi bertemu Singapura, dengan gol penyamaan oleh Nor Azam Azih berjaya menyemarakkan semangat seluruh pasukan untuk memburu gol kemenangan.

Bagi pemain tengah Pahang itu, kejayaan semalam bukan hasil daripada kreativitinya sendiri, sebaliknya kerja keras rakan sepasukan yang sentiasa berpegang teguh kepada matlamat untuk meraih tiga mata.

"Alhamdulillah saya dapat menjaringkan gol semangat sebelum Thanabalan menyumbat gol kemenangan.

"Saya berasa lega dan untuk perlawanan seterusnya, kami perlu fokus lagi," ujar Azam.