Derita skuad bola sepak wanita negara berterusan selepas tewas teruk kepada Thailand 6-0 dalam kempen Sukan SEA Ke-29 di Stadium UiTM Shah Alam, malam ini.

Malah, kekalahan ketiga berturut-turut itu menutup peluang Malaysia untuk sekurang-kurangnya meraih gangsa apabila berada di tangga tercorot daripada lima pasukan tanpa sebarang mata.

Thailand, yang beraksi dalam Piala Dunia Wanita dua tahun lalu, menguasai sebahagian besar perlawanan untuk memaksa skuad Mohd Asyraaf Fong Abdullah bekerja keras.

Kenduri gol pelawat bermula dengan jaringan Nisa Romyen pada minit ke-54 sebelum skuad Gajah Perang itu menambah empat gol lagi hasil jaringan Srimanee (m-56), Naphat Seesraum (m-58), Saowalak Pengngam (m-60) dan Taneekarn Dangda (m-90).

Untuk rekod, pelawat menghuni tangga ke-29 dalam ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berbanding Malaysia di kedudukan 80 dunia.

Dalam satu lagi perlawanan, Vietnam menewaskan Myanmar 3-1 untuk menyamai Thailand dengan mengumpul enam mata di tangga kedua.

Sementara itu, dalam saingan Kumpulan B acara bola sepak lelaki hari ini, Thailand menewaskan Kemboja 3-0, Vietnam menumpaskan Filipina 4-0, dan Indonesia mengatasi Timor-Leste 1-0.

Vietnam, yang meraih kemenangan ketiga berturut-turut, menduduki tangga teratas dengan sembilan mata, dua mata di atas Indonesia dan Thailand yang berada di tempat kedua dan ketiga.