Skuad wanita negara dibelasah 5-0 oleh Myanmar dalam perlawanan kedua kempen Sukan SEA Ke-29 di Stadium UiTM, Shah Alam, malam ini.

Kekalahan itu meletakkan Malaysia di kedudukan tercorot dalam kalangan lima negara bertanding selepas tewas 1-2 kepada Filipina, kelmarin.

Skuad Mohd Asyraaf Fong Abdullah berusaha keras mengikat kedudukan dengan Myanmar yang juga pemenang pingat gangsa ketika mereka menjadi tuan rumah pada 2013.

Lawan akhirnya membuka jaringan menerusi gol sendiri pemain negara, Nur Athirah Farhanah Zairi, dua minit selepas separuh kedua dimulakan.

Myanmar menambahkan lagi duka Malaysia dengan jaringan Win Theigi Tun (m-64), Khin Moe Wai (m-73, 79) dan Win Theigi Tun (m-77).

"Pemain kami telah mempamerkan komitmen yang tinggi berdepan pasukan yang lebih bagus. Myanmar memiliki kelebihan secara teknikal dan kemahiran individu yang sangat baik.

"Kami berjaya mengikat kedudukan (0-0) sehingga 45 minit pertama. Tetapi kesilapan kami ketika bolos gol pertama memberikan semangat kepada mereka untuk melakar lebih banyak jaringan," kata Asyraaf.

Acara bola sepak wanita kembali dipertandingkan dalam temasya ini selepas kali terakhir dianjurkan di Naypyidaw 2013 dengan menyaksikan Thailand menggondol emas, menewaskan Vietnam 2-1 dalam perlawanan akhir.

Mengulas mengenai aksi berdepan Thailand, Ahad ini, Asyraaf berkata: "Thailand adalah pasukan yang sangat berkualiti kerana mereka beraksi dalam Piala Dunia (2015), bagaimanapun kami perlu cuba turun menampilkan aksi yang terbaik."

Selain Malaysia dan Myanmar, tiga negara lain, Vietnam, Thailand dan Filipina bersaing untuk mengumpul mata tertinggi bagi menentukan kedudukan pingat.