Skuad bola sepak bawah 22 tahun negara mengakhiri kempen peringkat Kumpulan A, temasya KL2017 dengan rekod bersih apabila membenam Laos 3-1 di Stadium Shah Alam, malam ini.

Pengendali negara, Datuk Ong Kim Swee, melakukan lapan pertukaran daripada kesebelasan berdepan Myanmar kelmarin, dengan Adib Zainuddin, Irfan Zakaria dan N. Thanabalan sahaja dikekalkan dalam kesebelasan utama.

Malaysia, yang sudah mengesahkan tiket ke separuh akhir sebelum perlawanan ini, menyusun awal permainan dengan corak berhati-hati sebelum mula melancarkan asakan selepas 20 minit.

Amaran awal skuad B-22 negara hadir menerusi Syafiq Ahmad yang menerima lorongan daripada Jafri Firdaus Chew, namun tiang menjadi penghalang kepada gol awal.

Gol pertama hadir pada minit ke-27 apabila Jafri berada di kedudukan tepat untuk menampan masuk peluang di depan pintu gol lawan.

Bagaimanapun, sepakan percuma kencang Thanin Phanthavong yang menerjah jaring, membuat skuad muda negara tersentak ekoran kealpaan mereka memberi lawan ruang untuk mengatur gerakan.

Berselang beberapa minit, Malaysia kembali di hadapan apabila sepakan Adib terkena kaki pertahanan lawan lalu menggegar jaring lawan.

Anak buah Kim Swee kembali dengan corak berhati-hati slepas rehat sebelum mula rancak kembali pada penghujung permainan.

Hasilnya, Jafri yang terlepas peluang menarik pada minit ke-87, meledak gol kedua peribadinya pada masa kecederaan untuk Malaysia memuktamadkan kemenangan.

"Syukur kami beroleh tiga mata malam ini walaupun ramai pemain utama direhatkan.

"Walaupun tidak memerlukan kemenangan selepas layak menentang Myanmar, kami tetap berjuang demi maruah Malaysia," ujar pemain Pulau Pinang itu.

Aksi Kumpulan B esok menyaksikan persaingan tiga penjuru antara Thailand, Indonesia dan Vietnam.

Kredit imej: Football Association of Malaysia (Official)

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.