"Perjuangan kami belum berakhir", itu reaksi jurulatih skuad bola sepak bawah 22 tahun negara, Datuk Ong Kim Swee, setelah pasukannya melangkah ke pentas final menerusi kemenangan 1-0 ke atas Indonesia dalam aksi separuh akhir hasil jaringan N. Thanabalan, malam tadi.

Skuad muda negara menamatkan penantian enam tahun untuk melangkah ke pentas final Sukan SEA semula.

Dengan kali terakhir mereka melakukannya di Jakarta 2011, kejayaan semalam turut mengulangi pencapaian 16 tahun lalu apabila layak ke perlawanan akhir selaku tuan rumah pada 2001.

Kegembiraan itu, bagaimanapun, enggan diraikan Kim Swee kerana baginya, ada misi yang lebih penting perlu dilunaskan, iaitu merampas semula pingat emas daripada Thailand.

"Saya perlu menunggu tiga hari lagi sebelum boleh bergembira. Ia merupakan satu keputusan yang baik kerana kami layak ke final tetapi tidak boleh terlalu meraikan kejayaan ini.

"Pemain-pemain perlu kembali memberikan fokus untuk perlawanan final berdepan Thailand," kata Kim Swee.

Dalam pertemuan yang penuh mendebarkan itu, gol yang dinanti-nanti hanya tiba pada minit ke-86 apabila Thanabalan menanduk tepat bola sepakan sudut Nor Azam Azih untuk menggamatkan Stadium Shah Alam.

Sementara itu, ini merupakan kekalahan kedua skuad muda Garuda kepada skuad muda negara dalam tempoh sebulan.

Tewas 3-0 dalam aksi kelayakan Kejohanan AFC Bawah 23 Tahun di Bangkok bulan lalu dan sekali lagi tewas amat memeritkan buat pengendalinya, Luis Milla Aspas.

"Aksi hari ini (malam tadi) menghiburkan. Kedua-dua pasukan menampilkan corak permainan masing-masing tetapi saya kecewa dan sedih dengan kekalahan ini, sedih kerana pemain telah berusaha keras untuk memenangi perlawanan," ujarnya.