Jurulatih Myanmar, Gerd Zeise, bermain dengan psikologi apabila tetap mahu menurunkan barisan terkuatnya ketika menentang Malaysia, Isnin ini, walaupun pasukannya sudah layak ke separuh akhir acara bola sepak Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Skuad Myanmar selaku finalis edisi 2015 garang melangkah ke separuh akhir apabila membelasah Brunei 6-0, hari ini.

Muncul pasukan pertama meneruskan kemaraan, ia kemenangan ketiga pasukan itu selepas menundukkan Singapura 2-0 dan mengatasi Laos 3-1 dalam dua perlawanan terdahulu.

Berdepan Malaysia untuk aksi terakhir Kumpulan A, Zeise mengakui anak buahnya masih bernafsu memburu kemenangan untuk menjadi juara kumpulan.

"Kami akan mengambil serius perlawanan ini. Ia akan menentukan juara dan naib juara kumpulan," katanya.

Sementara itu, jurulatih skuad bawah 22 tahun negara, Datuk Ong Kim Swee, enggan mengambil peduli sebarang perancangan lawan kerana baginya kemenangan adalah keutamaan skuad muda negara.

"Kami perlu memberikan tumpuan kepada permainan kami, Malaysia akan turun beraksi bagi mendapatkan tiga mata penuh," katanya.

Selepas diberi rehat sehari, pemain negara kembali turun berlatih hari ini, dengan semua pemain bebas daripada kecederaan.