Pengendali skuad bola sepak bawah 22 tahun negara, Datuk Ong Kim Swee, tidak menolak kemungkinan merombak kesebelasan utama pasukan untuk aksi getir Kumpulan A berdepan Myanmar, malam ini.

Meskipun mereka berjaya menewaskan Myanmar 2-0 dalam aksi persahabatan 13 Julai lalu, Kim Swee enggan menjadikan keputusan itu sebagai ukuran kekuatan terkini lawan, sebaliknya menuntut aksi terbaik pemain bagi mengesahkan slot awal ke separuh akhir.

"Kita tidak boleh memandang rendah Myanmar walaupun mereka sudah melayakkan diri.

"Saya percaya ini ujian paling kuat dalam Kumpulan A.

"Kemungkinan besar saya akan melakukan perubahan besar dalam kesebelasan utama dan saya akan buat keputusan pada saat-saat akhir nanti," katanya.

Antara pemain yang dicanang pengendali berusia 46 tahun itu untuk berada dalam kesebelasan utama ialah penyerang Felcra United, N. Thanabalan.

Pemain kelahiran Negeri Sembilan itu meraih gol kemenangan ketika aksi berdepan Singapura sebelum ini lalu menyuarakan kesediaan untuk diturunkan.

Thanabalan bertekad memastikan barisan negara merakamkan keputusan positif di Shah Alam.

"Kami akan cuba mendapatkan satu atau tiga mata. Myanmar merupakan pencabar paling kuat dalam kumpulan berbanding Brunei dan Singapura," kata Thanabalan.

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.