Ketua jurulatih skuad bola sepak bawah 22 tahun negara, Datuk Ong Kim Swee, mula terbayangkan pingat emas Sukan SEA apabila mengakui pasukannya mempunyai potensi untuk mencabar kejuaraan selepas cemerlang menumpaskan finalis edisi lalu, Myanmar 3-1, kelmarin.

Skuad negara bergelut dalam dua perlawanan awal bertemu Brunei dan Singapura.

Meskipun sekadar melakar keputusan 2-1 ke atas kedua-dua lawan, anak buah Kim Swee mempamerkan belang sebenar ketika berdepan Myanmar.

Ia dibuktikan menerusi ketajaman penyudah jentera serangan dan keampuhan pertahanan mengekang asakan lawan walaupun dibolosi satu gol.

"Seperti saya katakan sebelum perlawanan ini, kami berpotensi untuk menewaskan sesiapa sahaja sekiranya pemain mengekalkan disiplin. Dengan taktikal berkesan, kami mampu mengalahkan sesiapa sahaja," katanya.

Kemenangan ketiga skuad negara dalam saingan Kumpulan A ditunjangi pemain penyerang, N. Thanabalan, yang menyumbang dua gol berkualiti, dengan Safawi Rasid turut melakar nama selaku penjaring bagi mengesahkan slot ke separuh akhir.

"Saya akan membuat yang terbaik dan terus menjaringkan gol dalam perlawanan akan datang. Berdepan Laos, kami meletakkan sasaran untuk menang, sekaligus memudahkan laluan dalam separuh akhir nanti," ujar Thanabalan.

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.

Kredit foto:
Facebook Football Association of Malaysia (Official)