Pengendali skuad bola sepak bawah 22 tahun negara, Datuk Ong Kim Swee, mengakui kekalahan tipis 1-0 kepada Thailand di pentas akhir Sukan SEA menerusi jaringan sendiri penjaga gol, Haziq Nadzli, amat pedih diterima.

Namun, Kim Swee tidak memiliki sebarang rungutan dengan kesungguhan pemain untuk memberi saingan kepada lawan sehingga wisel penamat.

Aksi semalam menyaksikan kesilapan Haziq menumbuk bola ke gawang sendiri pada minit ke-39 sebagai gol tunggal perlawanan yang membolehkan Thailand meraih emas.

Namun, Kim Swee enggan meletakkan punca kekalahan hanya di bahu Haziq.

"Sudah tentu ia bukan mudah untuknya apabila membenarkan gol seperti itu berlaku.

"Kita tidak boleh menyalahkannya. Dia seorang penjaga gol muda yang baik. Dia perlu mengambil apa yang berlaku sebagai proses pembelajaran," kata Kim Swee.

Dengan persiapan terhad serta masalah pelepasan pemain sebelum temasya Sukan SEA, Kim Swee berasa setiap pemain sudah mengerah segala kudrat dalam kesemua enam perlawanan yang dilalui skuad negara termasuk aksi final.

Berdepan Thailand, Kim Swee melakukan beberapa pertukaran pada babak kedua dengan kemasukan Ahmad Daniel Amier Norhisham, Syafiq Ahmad dan Akhyar Rashid yang memberikan sedikit impak, namun masih tidak mencukupi untuk menafikan lawan.

"Kami telah memberikan tentangan hebat kepada Thailand tetapi ia agak mengecewakan apabila kami tewas kepada gol seperti itu. Kami tidak bernasib baik kerana tidak mampu menyamakan kedudukan."

Dalam pada itu, pengendali Thailand,Woorawot Srimaka, tidak menyifatkan Malaysia lawan yang lemah tetapi mengakui nasib mungkin sedikit menyebelahi pasukannya.

“Kami memang sudah mengkaji corak permainan lawan bagi menangani mereka tetapi mereka memberi tentangan sengit.

"Kami hanya tidak bernasib baik apabila beberapa percubaan gagal menepati sasaran manakala tuah sedikit memihak kami dengan gol itu,” katanya.

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.

Kredit imej: FB Majlis Sukan Negara Malaysia