Pertahanan skuad bola sepak bawah 22 tahun negara, Irfan Zakaria, berharap penampilannya dalam aksi final buat kali pertama mampu menghadirkan kejayaan bermakna ketika berdepan Thailand untuk perebutan ibu emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Malaysia bakal menghadapi tugas getir bagi merampas semula ibu segala pingat daripada tangan Thailand selepas skuad negara kali terakhir memenanginya pada edisi 2011 di Jakarta/Palembang.

Selepas mengharungi beberapa lawan seperti Myanmar, Singapura, dan Indonesia, skuad Gajah Perang menjadi benteng terakhir untuk menggapainya semula.

Irfan menyifatkan ini merupakan perlawanan yang sangat penting dalam menyelamatkan maruah negara.

"Ini melibatkan hidup mati kami. Kami pernah berdepan Thailand dan tewas 3-0 dalam aksi (kelayakan) AFC," kata Irfan.

"Bagi saya, skuad ini adalah gabungan pemain lama dan baru, jadi jurulatih mungkin sudah ada perancangan tersendiri.

"Saya bersyukur kerana ini adalah pengalaman pertama saya beraksi dalam final Sukan SEA, lebih-lebih lagi di laman sendiri. Saya harap dapat memberikan persembahan terbaik."

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.