"Jangan terburu-buru fikir final," itu kenyataan pemain bola jaring negara, Nurfariha Abdul Razak, yang mahu pasukannya menamatkan pusingan separuh akhir dengan kemenangan terlebih dahulu berdepan Brunei, esok.

Malaysia -- yang mendominasi perlawanan untuk berada di tangga teratas selepas menang bersih dalam empat perlawanan sebelum ini -- bakal berdepan Brunei yang menduduki tangga keempat selepas selesai pusingan round robin.

Tatkala ramai yang menjangkakan Malaysia pasti melakar kemenangan mudah untuk mara ke final, skuad kendalian Tracey Robinson enggan mendabik dada menjelang aksi separuh akhir.

Fariha -- yang pernah dinobatkan selaku pemain terbaik dalam Kejohanan Pra-Sukan SEA sebelum ini -- hanya mahu menampilkan permainan lebih kemas sepanjang perlawanan.

"Kami menerapkan di dalam diri kami untuk mempamerkan aksi terbaik dalam setiap perlawanan. Kami cuba memastikan permainan yang konsisten dan memastikan kami memantapkan teknik ketika menyerang," katanya.

Sementara itu, 'goal shooter' (GS) Singapura, Charmaine Soh, turut senada apabila mahu memberi lebih fokus terhadap aksi berdepan Thailand terlebih dahulu -- dalam satu lagi aksi separuh akhir -- kerana tidak mustahil lawan akan tampil dengan aksi berbeza selepas tewas 59-41 dalam perlawanan keempat.

"Kami mendapatkan rehat yang secukupnya dan membuat persiapan untuk perlawanan seterusnya dengan melihat semula video analisis permainan kami. Perkara yang paling penting adalah kami perlu perbaiki kesilapan yang telah dilakukan daripada perlawanan lepas," ujar Charmaine.