Skuad bola jaring negara di ambang kejayaan pingat emas Sukan SEA dan akan melakukan perhitungan dengan juara bertahan, Singapura, dalam perlawanan akhir di Stadium Juara, Bukit Kiara pada jam 3 petang esok.

Singapura sah menjadi lawan Malaysia dalam final buat kali kedua berturut-turut selepas republik itu menewaskan Thailand 55-43 dalam separuh akhir sebentar tadi, sementara Malaysia menewaskan Brunei 70-28 sebelum itu.

Selain turun dengan status juara Asia, aksi dalam pusingan round robin yang menyaksikan Malaysia menewaskan Singapura 50-37 menjadi tanda-tanda awal mengapa skuad negara dianggap sebagai pasukan pilihan kuat dalam kempen kali ini.

Bagaimanapun, jurulatih pasukan negara, Tracey Robinson, belum mahu mendabik dada sambil meramalkan pentas final esok tetap sukar.

"Perlawanan akhir selalunya sukar dengan hanya melibatkan keputusan mata yang rendah (perbezaan mata tipis)," katanya.

"Daripada perspektif jurulatih, saya mahu menyenaraikan semua pemain kerana mereka semua sentiasa bersedia. Falsafah saya bukannya tujuh pemain utama, sebaliknya 12, dan itulah yang saya lakukan sepanjang minggu ini."

Ketika menewaskan Brunei, Malaysia menurunkan Nur Syafazliyana Mohd Ali, Norashikin Kamal Zaman, An Najwa Azizan, Noramirah Dayana Noor Azhar, Siti Nor Farhana Mustafa, Nur Fariha Abdul Razak dan Pow Mei Fong selaku tujuh pemain utama.

"Kebanyakan anak buah saya akan tampil dalam aksi final buat kali pertama dan beraksi di depan penyokong sendiri bukannya mudah. Kami banyak belajar hari ini (menentang Brunei)," tambah jurulatih dari Australia itu.

Kemenangan Singapura dalam separuh akhir bermula pada suku pertama dengan 13-9, disusuli kejayaan suku kedua 26-21.

Pada suku ketiga, Singapura meraih 41-30 dan kemudian menyempurnakan kemenangan 55-43 walaupun mendapat tentangan sengit Brunei.

Untuk rekod, acara bola jaring kembali dipertandingkan di Singapura pada 2015 selepas Sukan SEA Kuala Lumpur 2001 yang menyaksikan skuad negara muncul juara.