Skuad bola jaring negara berjaya membalas dendam kekalahan dalam final dua tahun lalu selepas menewaskan Singapura 65-41 dalam perlawanan akhir untuk menggondol emas Sukan SEA Ke-29 di Stadium Juara, Bukit Kiara, hari ini.

Ia adalah emas pertama Malaysia dalam bola jaring selepas penantian 16 tahun sejak kali terakhir bergelar juara ketika menjadi tuan rumah pada 2001.

Untuk rekod, Malaysia juga adalah juara Kejohanan Bola Jaring Asia apabila menewaskan Sri Lanka 41-31 dalam final di Bangkok, pada Ogos tahun lalu.

Dalam final hari ini, kedua-dua penjaring negara, Izyan Syazana Mohd Wazir (GA) dan An Najwa Azizan (GS), jelas kelihatan tenang dan sering melemparkan senyuman setiap kali melakukan jaringan.

Malaysia, yang juga menampilkan Noramirah Dayana Noor Azhar, Nurfariha Abdul Razak, Pow Mei Foong, Yap Suo Kuen dan Siti Nor Farhana Mustafa dalam barisan utama, beraksi penuh yakin dengan menerapkan corak permainan pantas.

Tentangan yang diterima Malaysia dalam pertemuan kali ini tidaklah sukar seperti diramalkan, sebaliknya skuad negara mendahuli 5-0 pada awal permainan dan kemudian mudah menamatkan suku pertama 20-7.

Skuad bimbingan Tracey Robinson melebarkan jurang kepada 36-12 pada akhir suku kedua untuk membawa Malaysia di ambang emas di hadapan penyokong sendiri yang turut disertai Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak, isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, dan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

L. Karishma dan Norashikin Kamalzaman dimasukkan bagi menggantikan Izyan dan An Najwa pada suku ketiga, dan percaturan itu tidak menghalang Malaysia untuk meninggalkan Singapura 51-28 sekalipun lawan memenangi suku itu 16-15.

Malaysia kemudian melengkapkan kemenangan 65-41 dalam 15 minit terakhir untuk menamatkan acara itu dengan enam kemenangan berturut-turut tanpa sebarang kekalahan.

"Alhamdulillah, kami meraih kemenangan. Pada awal saingan, Singapura memberi tentangan sengit, apapun kami tidak memandang remeh lawan dan tidak memberi laluan mudah kepada mereka.

"Kami mahu memberikan emas buat negara dan akhirnya berasa seronok menghadiahkan kejayaan untuk Malaysia. Kami akan membuat persediaan untuk Kejohanan Asia di Singapura, tahun depan," kata pemain negara, Nursyafazaliana Mohd Ali.

Singapura terpaksa akur dengan pingat perak sementara gangsa dimenangi Thailand dan Brunei.

"Sangat hebat, persembahan penuh bersemangat, bersungguh-sungguh dan mereka bergerak sebagai satu pasukan.

"Mereka bersikap tenang. Tahniah saya ucapkan dan saya bangga dengan pasukan bola jaring negara," kata Najib.

Untuk rekod, Malaysia meraih pingat perak selepas tewas tipis kepada Singapura 46-43 dalam perlawanan akhir ketika republik itu menjadi tuan rumah dua tahun lalu.