Malaysia menumbangkan juara bertahan acara bola jaring Sukan SEA, Singapura 50-37 di peringkat liga round robin temasya edisi ke-29 di Stadium Juara, Bukit Kiara, petang ini.

Malaysia, yang turun tanpa tekanan selepas memenangi dua perlawanan terdahulu, memberi tentangan sengit kepada musuh ketatnya itu.

Skuad negara menamatkan suku pertama dengan kemenangan 14-11, sebelum menjarakkan kedudukan 27-18 pada suku kedua.

Malaysia, yang dikecewakan lawannya itu dalam perlawanan akhir dua tahun lalu, tidak memberikan peluang kali ini, ditambah beraksi di depan penyokong sendiri.

Selepas memenangi suku ketiga 37-26, Tracey Robinson menggunakan kedua-dua penyerang berbisanya, An Najwa Azizan dan Norashikin Kamalzaman, untuk membantu pasukan melengkapkan kemenangan 50-37.

"Kami bermain sahaja, dia (Robinson) bagi tahu apa yang kami perlu buat. Saya tidak fikir perlawanan ini mudah. Kami perlu perbaiki lagi prestasi untuk mempamerkan aksi yang lebih baik pada masa akan datang.

"Kami mengambil langkah demi langkah, belum fikir ke final lagi dan kini fokus kami untuk perlawanan separuh akhir," kata pemain negara, Izyan Syazana Wazir.

"Pemain ada sedikit gemuruh tetapi mereka telah memberikan yang terbaik," kata pemain Singapura, Nurul Baizura Abdul Razak.

Ia kemenangan ketiga Malaysia selepas menewaskan Brunei 64-27 semalam dan menundukkan Thailand 73-30 dalam perlawanan pertama kelmarin.

Sementara itu, Singapura terpaksa akur dengan kekalahan pertama setelah mengalahkan Brunei 62-37, kelmarin.

Malaysia, yang mengesahkan kemaraan ke separuh akhir, akan menentang Filipina untuk melengkapkan pusingan round robin, Jumaat ini.