Skuad bola jaring negara mudah mengatasi Filipina 96-11 dalam perlawanan terakhir peringkat round robin Sukan SEA Ke-29 di Stadium Juara, Bukit Kiara, sebentar tadi.

Malaysia, yang lebih awal mengesahkan tempat ke peringkat separuh akhir, turun tanpa tekanan untuk memastikan Filpina pulang tanpa sebarang kemenangan.

Skuad Tracey Robinson itu hanya membenar lawan mengutip dua mata pada dua suku pertama dengan meraih pendahuluan 26-2 dan 50-4.

Malaysia tidak menoleh ke belakang, malah terus melebarkan jurang ketika Filipina menambah tiga jaringan pada suku ketiga untuk kedudukan 75-7.

Skuad negara yang diketuai Nur Syafazliyana Mohd Ali akhirnya melengkapkan kemenangan keempat kejohanan dengan keputusan 96-11 pada suku keempat.

Selain Syafazliyana, Malaysia dibarisi Noramirah Dayana Noor Azhar, Siti Nor Farhana Mustafa, Nur Fariha Abdul Razak, Norashikin Kamal Zaman, Puah Pei San dan L. Karishma selaku tujuh pemain utama dalam perlawanan ini.

"Saya mahu merehatkan beberapa pemain kerana saingan ini mula mempengaruhi fizikal mereka.

"Karishma menyerlah pada hari ini dengan hantaran-hantaran yang hebat. Saya sangat gembira dengan persembahannya pada hari ini.

"Saya juga merombak sedikit permainan kami sebagai persediaan sekiranya mana-mana pemain tercedera," kata Robinson.

Malaysia kini menduduki tangga teratas liga selepas turut menewaskan Thailand 73-30, Brunei 64-27 dan Singapura 50-37.