Ramai atlet yang bakal membuat penampilan sulung dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, antaranya barisan pemain snuker dan billiard negara, Mohd Almie Yakup dan Adwin Teh, yang mempunyai misi peribadi dalam temasya kali ini.

Sukan snuker dan billiard seringkali dikaitkan dengan gejala negatif, justeru menjadi tanggungjawab Almie untuk membuang stigma sebegitu apabila turun mewakili negara dalam acara ini buat julung kalinya.

Biarpun berusia 17 tahun, pemuda dari Kota Kinabalu ini sudah pun bertanding dalam beberapa kejohanan penting, antaranya Kejohanan Remaja Asia di Taiwan serta Kejohanan Dunia di China.

Baginya, pilihan untuk bergiat serius dalam sukan ini sejak berusia 10 tahun adalah sesuatu yang berbaloi dan berharap mampu menjadi perintis generasi baru dalam acara tersebut.

"Ada orang menganggap sukan ini umpama berjudi, saya buktikan tanggapan itu salah," katanya.

Kisah berlainan dikongsi Adwin Teh Kah Seng yang beraksi dalam acara billiard.

Pemegang ijazah perakaunan dari Universiti Macquarie, Sydney, ini tidak menyangka perbualannya bersama jurulatih negara , Mike Russel, dua tahun lalu ketika menyaksikan skuad negara beraksi dalam Sukan SEA Singapura mengubah hidupnya.

Ketika itu, dia masih lagi tidak terlibat secara serius, namun kini bakal membuat penampilan sulung di pentas Sukan SEA.

"Pada masa itu, saya tidak begitu serius dengan billiard dan lebih menjurus kepada snuker.

"Mike Russel merupakan bekas juara dunia dan kesempatan meluangkan masa dengannya memberikan saya inspirasi. Dari situlah, saya mula serius dengan billiard," ujarnya.

Acara snuker dan billiard juga akan berlangsung di MITEC, bermula pada Selasa ini.