Ju Pha Somnet bakal menjadi penentu buat skuad berbasikal trek negara dalam usaha membolot kesemua 13 pingat emas yang ditawarkan dalam Sukan SEA kali ini.

Ju Pha akan berdepan cabaran sukar menentang juara Asia, Juthatip Maneephan dari Thailand, dalam acara omnium, hari ini.

Dia masih menunggu emas sulung Sukan SEA selepas meraih dua pingat perak dalam acara lebuhraya, termasuk tewas di tangan Juthatip dalam acara kriterium.

Skuad berbasikal trek diharap dapat membolot semua 13 emas ditawarkan, namun ia turut bergantung kepada Ju Pha.

"Setakat ini yang merisaukan saya, setiap negara ada menghantar dua wakil, jadi sudah pasti ketika perlumbaan mereka akan menerapkan pelbagai cara untuk menang," kata Ju Pha.

Sementara itu, berita gembira buat Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom apabila penganjur Sukan Asia Indonesia 2018 sedia mempertimbangkan semula status acara keirin, pecut dan pecut berpasukan dalam temasya itu.

Persekutuan Berbasikal Asia akan bersidang sempena Kongres Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) di Norway, 20 September depan untuk mencapai keputusan muktamad.

"Saya sangat teruja untuk beraksi dalamSukan Asia kerana ia antara fokus utama saya selain Sukan SEA, Sukan Komanwel dan Kejohanan Dunia sebagai persiapan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020," ujar Azizulhasni.

"Selepas ini, kami akan fokus kepada misi beraksi dalam Sukan Komanwel dan Sukan Asia. Kami gembira dengan berita mereka mahu mempertimbangkan semula acara ini," tambah Muhammad Shah.

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.