Ketua jurulatih skuad berbasikal negara, John Beasley, memutuskan saingan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 sebagai penampilan terakhir Azizulhasni Awang dan Fatehah Mustapa dalam temasya dwitahunan itu kerana pelumba muda sudah sedia menggantikan tugas mereka.

Kejayaan merangkul 11 daripada 13 emas di Velodrom Nasional, Nilai membuktikan Malaysia terlalu hebat di pentas Asia Tenggara.

Prestasi pelumba muda seperti Mohd Dhariz Afendi Mohd Shahrin, Irwandi Lakasek dan Farina Shawati Mohd Adnan jelas melegakan pengendali negara itu selepas menyaksikan mereka berjaya mengatasi pelumba Asia Tenggara lain dan hanya tewas di tangan jaguh utama negara.

"Kami perlu melakukannya sekarang. Kami tahu kami memiliki pelumba pelapis tetapi saya tidak menjangkakan mereka akan mencatat masa bertaraf dunia. Ia bukan tentang kemenangan. Saya cuma gembira dengan tahap mereka ketika ini.

"Saya sangat kagum. Saya kini teruja dengan Sukan Komanwel akan datang kerana saya nampak kita mampu merangkul sekurang-kurangnya dua emas.

"Bagaimanapun, sasaran utama kami tetap Sukan Olimpik Tokyo 2020," ujar Beasley.

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.