Malaysia gagal menyapu bersih empat pingat emas yang ditawarkan pada hari pertama acara berbasikal Sukan SEA Ke-29 di Velodrom Nasional Nilai, hari ini.

Dalam acara terakhir omnium wanita hari ini, pelumba negara, Ju Pha Som Net, hanya meraih gangsa selepas mengutip 164 mata dan Ching Zhen G Phang menduduki tempat kelima dengan 111 mata.

Pelumba Thailand, Jutatip Maneephan, berada di tangga teratas untuk pingat emas dengan 164 mata dan Yiwei Luo dari Singapura (161) memenangi perak.

Jhu Pha kelihatan terpaksa ditenangkan oleh rakan sepasukan selepas menamatkan perlumbaan itu.

"Saya sudah cuba habis-habisan sehingga mengalami kekejangan kaki. Saya kecewa.

"Saya akan berlatih bersungguh-sungguh dalam tempoh dua tahun ini untuk dapatkan pingat emas," kata Jhu Pha yang sudah beraksi dalam Sukan SEA sejak 2011.

Malaysia sebelum itu meraih tiga pingat emas menerusi scratch lelaki, pecut berpasukan wanita dan pecut berpasukan lelaki.

Pingat emas acara scratch lelaki dimenangi Irwandie Lakasek, pecut berpasukan wanita menerusi gandingan Fatehah Mustapa dan Farina Shawati Mohd Adnan sementara Mohd Shariz Efendy, Mohd Fadhil Mohd Zonis dan Mohd Khairil Nizam Rasol mengungguli pecut berpasukan lelaki.

Skuad berbasikal negara sebelum ini menyasarkan 13 pingat emas menerusi acara trek, lebuh raya dan BMX dalam temasya kali ini.

Ju Pha turut memenangi perak acara kriterium wanita di Dataran Putrajaya, Isnin lalu, bagi memperbaiki pencapaian gangsa yang dimenangi dalam Sukan SEA 2015.

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.