Beregu wanita negara, Vivian Hoo dan Woon Khe Wei, gagal untuk mengulangi pencapaian mereka pada edisi dua tahun lalu apabila tewas dalam separuh akhir kepada pasangan Thailand, Jongkolphan Kitiharakul-Rawinda Prajongjai, 17-21, 22-20, 17-21 di Arena Axiata, hari ini.

Selepas tewas kepada Amelia Anscelly-Song Fie Cho dua tahun lalu, harapan Vivian dan Khe Wei untuk ke final sekali lagi lebur apabila tewas kepada Kitiharakul-Prajongjai.

Tewas set pertama 17-21, Vivian-Khe Wei mencetus kebangkitan apabila memenangi set kedua 22-20.

Bagaimanapun, dalam set penentuan, mereka gagal meneruskan momentum dan terpaksa akur dengan kekalahan 17-21.

Dalam aksi beregu campuran, Chan Peng Soon dan Cheah Yee See gagal mengikut jejak langkah Goh Soon Huat-Shevon Lai-Jemie ke final selepas tewas kepada Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai 16-21, 21-18, 21-23.

Berita gembira buat skuad badminton negara pada sebelah petang hadir apabila beregu lelaki negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi melangkah ke perlawanan akhir selepas menewaskan Bodin Isara-Nipitphon Phuangphuapet 21-12, 21-15.

"Kami kalah di peringkat berpasukan kerana persiapan kami tidak cukup baik. Jadi kami melakukan persiapan lebih bagi menghadapi acara indidivu. Kami berbincang dengan jurulatih untuk meningkatkan lagi permainan kami," kata Ee Yi

"Memang harap boleh raih pingat emas bagi menyelamatkan maruah beregu lelaki negara," kata Yew Sin.

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.