Skuad badminton lelaki negara memiliki kemampuan untuk menamatkan kemarau pingat emas dalam acara berpasukan Sukan SEA yang didominasi Indonesia sejak edisi 2007 di Korat, Thailand.

Kali terakhir pasukan lelaki negara muncul juara berpasukan adalah pada edisi 2005 di Manila selepas menewaskan Indonesia dalam final.

Dua tahun lalu di Singapura, Indonesia gah menewaskan Thailand sementara Malaysia terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa.

Ketua jurulatih beregu lelaki negara, Cheah Soon Kit, meletakkan harapan kepada anak buahnya, Teo Jing Yi/Ong Yew Sin serta Izzudin Rumsani/Goh Sze Fei, untuk memikul tanggungjawab menamatkan kemarau emas itu.

"Sebagai jurulatih, kami mahu mereka menang emas tetapi kami tidak meletakkan beban terlalu tinggi selagi mereka tahu sasaran dan misi yang ditetapkan," katanya.

Sasaran dua emas daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam saingan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 membangkitkan persoalan terhadap kemampuan pemain negara dalam membuktikan status selaku antara gergasi dunia.

Soon Kit percaya kejayaan dalam saingan berpasukan hanya akan menyuntik semangat pemain negara dalam saingan individu selepas itu.

"Penting untuk menang acara berpasukan.

"Ia bagus untuk pemain muda mengutip pengalaman dan tekanan sebagai persediaan menghadapi Piala Thomas tahun depan."