Cabaran negara dalam perseorangan lelaki badminton Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 berakhir selepas Iskandar Zulkarnain Zainuddin tersungkur di tangan Nguyen Tien Minh dari Vietnam dalam suku akhir di Arena Axiata, hari ini.

Iskandar menang 21-16 dalam set pertama sebelum tewas 17-21, 18-21, membuatkan perlawanan berakhir dengan keputusan memihak kepada Tien Minh 2-1.

"Sebenarnya, saya mahu membuktikan sesuatu di sini. Saya mahu melakukannya selepas Datuk Lee Chong Wei tersingkir awal dalam Kejohanan Dunia, baru-baru ini.

"Memang bukan rezeki saya, saya tidak tahu apa yang berlaku selepas perbincangan dengan jurulatih," ujar Iskandar.

Lebih membimbangkan, Iskandar turut memikirkan apakah dia masih mampu memainkan peranan untuk skuad kebangsaan.

Perseorangan kedua negara itu melalui tahun yang sukar, termasuk perlu menangani episod kecederaan belakang yang berpanjangan.

"Tahun ini agak sukar bagi saya, tambahan pula dengan masalah kecederaan. Saya cuba untuk bangkit semula, mungkin mental saya agak penat kerana tempoh sebulan ini agak sukar.

"Kekalahan saya tidak berpunca daripada sesi latihan tetapi mental saya yang tidak kuat dan takut kalah. Saya tidak dapat memaafkan diri saya," tambahnya.


Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.