Malaysia akan memiliki ratu badminton baru apabila dua perseorangan negara, Soniia Cheah dan Goh Jin Wei, berentap merebut pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 esok.

Soniaa dan Jin Wei mempamerkan kebangkitan luar biasa untuk mencipta lembaran baru dalam sejarah perseorangan wanita negara.

Bermula dengan Soniia di gelanggang utama, ketinggalan 17-20 menentang Gregoria Mariska dari Indonesia, dia menyamakan kedudukan 20-20 sebelum menang 22-20.

Tidak ada apa yang mampu menghalang Soniia daripada menjejakkan kaki ke final kecuali dirinya sendiri apabila tenang mengawal tempo set kedua.

Pertarungan 37 minit itu berakhir memihak Sonia yang merampas set kedua 21-13.

"Saya gembira kerana mara ke final. Saya mahu terus berjuang sehingga ke peringkat akhir. Saya tidak akan berhenti berjuang selagi saya masih hidup,” kata Soniia.

Waktu Soniia berbicara bersama media, Jin Wei masih lagi bertarung menentang bintang meningkat naik Thailand, Pornpawee Chochuwong.

Selepas mudah menang set pertama 21-9, Jin Wei dipaksa mengerah keringat untuk memastikan kemaraan menakjubkan 21-10, 21-18.

Kejayaan mereka ini bermakna Malaysia menamatkan kemarau emas perseorangan wanita Sukan SEA sejak temasya Hanoi 2003 yang dimenangi oleh Wong Mew Choo.

"Saya mahu memenangi perlawanan ini. Saya mahu aksi final melibatkan atlet Malaysia. Saya akan memberikan yang terbaik, sekaligus memastikan Malaysia mendominasi aksi final," kata Jin Wei.

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.