Atlet angkat berat negara, Muhammad Azroy Hazalwafie, terlepas peluang untuk memenangi pingat gangsa Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dalam kategori 56 kilogram selepas mencatat angkatan kurang 1kg berbanding atlet Thailand, Witoon Mingmoon, di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), hari ini.

Azroy yang menamatkan saingan 56kg lelaki menduduki tangga keempat apabila mencatat jumlah angkatan 258kg.

Bagaimanapun, ia satu pengalaman berharga buat Azroy yang pertama kali menyertai Sukan SEA kerana berjaya memperbaiki angkatannya sebelum ini.

"Rasa gementar ada seronok pun ada kerana dalam ramai-ramai atlet, saya yang terpilih untuk kategori ini.

"Selepas idola saya, Amirul Hafizan Ibrahim, bersara saya menggantikan tempat dia.

"Tadi saya sedikit kecewa kerana kalah dengan perbezaan 1kg dengan Thailand.

"Tetapi, saya masih berpuas hati kerana sasaran yang diletakkan ke atas saya oleh Majlis Sukan Negara (MSN) adalah untuk mengejar ranking ke Sukan Komanwel," katanya yang pernah menggondol dua emas dalam Terbuka Australia, Mac lalu.

Azroy yang mengangkat 115kg dalam acara snatch berjaya melakukan 143kg dalam clean and jerk, namun ia tidak memadai untuk mengatasi Witoon.

Dalam acara tersebut, Thach Kim Tuan berjaya mempertahankan emas Sukan SEA yang dimenanginya pada 2013 di Naypyitaw dengan jumlah angkatan 269kg.

Sementara itu, wakil Indonesia, Surahmat Suwoto Wijoy, mendapat perak dengan jumlah angkatan 267kg.

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.